Showing posts with label Berita Harian. Show all posts
Showing posts with label Berita Harian. Show all posts

Wednesday, 19 June 2013

Pasangan suami isteri dipenjara 15 tahun dera pembantu rumah


2013/06/19 - 17:31:26 PM



JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan dan memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia mereka, tahun lalu. 


Mohd Shukur Suradi, 29, seorang ahli perniagaan, dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali manakala isterinya, Daeng Norulasyikin Bachok, 28, seorang guru, turut dikenakan penjara 15 tahun kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini, 22. 



Mereka turut dipenjara masing-masing 10 tahun atas pertuduhan kedua iaitu memperdagangkan mangsa. 



Hakim Nu'aman Mahmud Zuhudi memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan. 



Dalam penghakimannya, beliau berkata perbuatan kedua-dua tertuduh adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan serta tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang manusia kepada manusia yang lain. 



Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan kes di Mahkamah Tinggi. 



Atas pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini dengan menggunakan pisau, kayu golf, tali pinggang, minyak panas, penyangkut baju, senduk dan sudu panas. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mereka di nombor 7, Jalan Utama 5, Taman D Utama Perling, di sini, antara Julai dan 23 Sept tahun lalu. 



Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan. 



Bagi pertuduhan kedua pasangan itu didakwa memperdagangkan Marsini bagi maksud eksploitasi dengan cara bekerja sebagai pembantu rumah di alamat yang sama kira-kira jam 12 tengah hari, 23 September lalu. 



Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 



Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Isa Mohamad Basir. - BERNAMA

Mahkamah tangguh 17 Julai dengar laporan mental amah `lambung' bayi


2013/06/19 - 18:19:55 PM





KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan sehingga 17 Julai depan untuk mendengar keputusan laporan pemeriksaan mental seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa mendera bayi majikannya, Februari lalu. 


Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam T. Vijayandran, yang mewakili Yuliana, 23, agar kes itu disebut semula pada tarikh lain bagi membolehkan beliau membincangkan laporan itu dengan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. 


Vijayandran mempersoal kesahihan laporan itu yang disediakan Pegawai Perunding Forensik Psikiatrik Hospital Permai, Johor, Dr Badia'h Yahya, bukannya pengarahnya. 


"Seksyen 343 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan bahawa apa-apa laporan itu mesti dibuat oleh Pengarah hospital. Saya menghubungi pihak hospital dan dimaklumkan pengarahnya adalah Dr Abdul Kadir Abu Bakar," katanya. 


Terdahulu, Mariana membacakan laporan Dr Badia'h di mahkamah yang menyatakan ketika kejadian tertuduh tidak menunjukkan apa-apa tanda penyakit mental yang serius. 



"Pada pendapat saya semasa kejadian itu, dia berfikiran waras dan mampu memahami bahawa tindakan beliau adalah menyalahi undang-undang. 



"Dia patut dibicarakan dan layak membuat pembelaan di mahkamah bagi mempertahankan dirinya," katanya. 
Yuliana dari Acheh, Indonesia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera bayi berusia empat bulan, 15 Feb lepas. 



Pada 12 Mac lalu, Mariana memerintahkan wanita terbabit ditahan sementara di Hospital Permai selama tiga bulan bagi menentukan tahap kewarasan tertuduh setelah wanita terbabit memohon menggantung pelaksanaan hukuman yang dihadapinya. - BERNAMA