Tuesday, 8 December 2009

Nasib Golongan OKU

** Ini adalah petikan dari email yang dihantar kepada Utusan Malaysia

Assalamualaikum.

Saudara Pengarang,

Saya terpanggil untuk memberikan respon terhadap surat dari Nadia, seorang OKU yang suratnya tersiar diruangan forum pada 9 Disember 2009.

Saya mempunyai seorang abang yang juga OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang turut menerima nasib yang sama seperti Nadia. Dalam soal mendapat peluang pekerjaan, permohonan beliau seringkali ditolak. Bukan sahaja dari sektor swasta, malahan dari sektor kerajaan 1Malaysia.

Sepanjang pengetahuan saya beliau sudah menerima sebanyak enam kali surat panggilan temuduga dari SPA dan telah menghadiri 5 dari 6 panggilan temuduga tersebut. Kesemua jawapan yang diterima selepas itu adalah mengecewakan iaitu 'Dukacita'. Cuma satu temuduga SPA sebagai calon bagi jawatan Pembantu Perpustakaan, di mana beliau telah diletakkan sebagai 'Calon Simpanan Selama 1 Tahun'. Sehingga kini, tiada informasi lanjut mengenai kebarangkalian 'calon simpanan' ini akan mendapat tempat ataupun tidak di jabatan-jabatan kerajaan.

Abang saya telah menghantar surat(email) rayuan kepada pihak SPA untuk pertimbangan semula, tetapi jawapan 'standard' yang diterima dari pegawai SPA yang bertanggungjawab juga sangat mengecewakan. Seolah-olah permohonan OKU ini tidak boleh lagi dirayu dan setiap keputusan temuduga adalah muktamad.

Apa yang ingin saya tegaskan di sini adalah golongan OKU memang sering 'didiskriminasikan' secara terang-terangan. Hanya golongan OKU dan keluarga mereka yang tahu bagaimana sukarnya mereka memperolehi pekerjaan yang adil serta sama taraf dari segi penggajian berbanding golongan yang sempurna.

Saya seringkali terbaca kenyataan didada-dada akhbar oleh samada dari Menteri, wakil-wakil Jabatan Kerajaan dan majikan-majikan tentang tidak wujud 'diskriminasi' terhadap golongan OKU dalam semua hal termasuk peluang pekerjaan untuk mereka. Pada saya semua itu hanyalah kenyataan 'Retorik' yang memualkan. Hakikatnya sangat 'terbalik'. Mereka yang mengeluarkan kenyataan penafian tersebut langsung tidak 'turun ke bawah' melihat penderitaan sebenar golongan OKU ini. Kenyataan penafiaan mereka itu sangat mengguris perasaan dan memberikan tekanan bukan sahaja kepada golongan OKU seperti abang saya, malahan semua anggota keluarga mereka terutamanya keluarga yang miskin atau berpendapatan rendah. Sudahlah kehidupan tidak sesenang mana, 'harapan' pula samar-samar.

Cuba mereka bayangkan, sudahlah mereka ini kurang upaya, didiskriminasikan pula. Umur semakin meningkat, jaminan hidup pula masih samar-samar. Sampai bila hanya mengharapkan ehsan keluarga, bantuan zakat atau bantuan JKM? Bagaimana mereka mahu membina keluarga? Apa yang boleh mereka nikmati dengan gaji RM700 disaat imflasi negara semakin meningkat? Mereka ini sedang mengalami dipresi atau tekanan yang sangat hebat.

Saya merayu kepada pihak-pihak yang memegang tampuk kuasa, wakil-wakil rakyat yang sibuk berdebat di Parlimen, pemilik-pemilik perniagaan yang berhati murni, jenguk-jenguklah golongan OKU ini sehingga di depan pintu rumah mereka. Lihatlah realiti golongan OKU yang tiada 'kaki atau orang dalam' dan tiada pengaruh di mana-mana. Jangan hanya mengeluarkan kenyataan yang diperolehi dari pegawai-pegawai bawahan anda sahaja tetapi anda sendiri tidak melihat realitinya secara adil dan terperinci. Usah anda mengajar golongan OKU bagaimana untuk menjalani kehidupan mereka sedangkan sesudah itu anda mendiskriminasikan mereka pula.

Saya ingin mencadangkan supaya Menteri yang terlibat menjaga perihal golongan OKU ini iaitu Datuk Seri Shahrizat Jalil, supaya menyediakan satu platform khas bagi golongan OKU yang memerlukan pekerjaan. Adakan satu acara khas yang boleh mempertemukan golongan-golongan pencari pekerjaan OKU dengan para majikan yang boleh memberikan harapan dan pekerjaan kepada mereka. Kalau kerajaan dan swasta seperti Job Streets boleh mengadakan hari khas yang mempertemukan pencari pekerjaan dengan majikan, sebelum ini (yang kebanyakannya untuk golongan sempurna), mengapa tidak boleh kerajaan 1Malaysia mengadakan hari khusus seperti ini untuk golongan OKU sahaja. Adakan secara 'road tour' ke seluruh Malaysia bagi memberikan peluang kepada semua OKU di Malaysia bertemu dengan bakal-bakal majikan yang berminat menggaji mereka.

Selain itu, kerajaan sepatutnya menwar-warkan secara terang tentang insentif-insentif khas yang disediakan oleh kerajaan kepada para majikan swasta yang menggaji pekerja OKU, seperti insentif cukai dan sebagainya. Ini bagi mencelikkan para majikan swasta bukan sahaja tentang peranan mereka terhadap masyarakat, malahan apa yang mereka bakal perolehi dari sikap murni mereka.

Seperti yang diminta oleh Nadia, saya juga menyeru kepada pihak kerajaan supaya mempermudahkan urusan OKU yang berkaitan dengan hak mereka. Fahamilah limitasi-limitasi keupayaan mereka yang tidak sama dengan orang yang sempurna. Bantulah mereka membina kehidupan dengan pekerjaan tetap dan gaji yang berpatutan kerana, kadangkala perbelanjaan hidup dan perubatan golongan OKU ini lebih tinggi berbanding golongan yang sempurna. Fahamilah realiti kesukaraan hidup mereka dan berhentilah mengeluarkan kenyataan-kenyataan penafiaan yang mengguris perasaan mereka dan keluarga mereka. Ambil tahu realiti tekanan dan apa yang mereka lalui dalam hampir seluruh hidup mereka.

Apabila golongan OKU membuat sesuatu rayuan, maka nilailah rayuan mereka dengan ikhlas dan penuh rasa belas. Mereka perlukan 'kelebihan' dalam beberapa hal yang wajar diberikan kepada mereka.

Pada yang memegang kuasa, jangan sombong dan takbur melayan golongan OKU kerana siapa tahu suatu hari nanti anda pula akan dikategorikan sebagai OKU dan akan menghadapi kesukaran yang sama sepertimana mereka sekarang. Kita manusia, dan mereka juga manusia. Kita menjalani hidup di atas bumi yang sama dan akan kembali menemui 'Pencipta' yang sama. Justeru, fikirkanlah apa tanggungjawab kita untuk membantu golongan OKU yang menderita atas 'kesempurnaan' kita ini.

Wednesday, 2 December 2009

Air Asia dapat RM25 juta duit rakyat

* TULISAN INI DIPETIK DARI BLOG http://ruangbicarafaisal.blogspot.com/2009/12/air-asia-dapat-rm-25-juta-duit-rakyat.html



Update@14.26hrs: Komen kiriman Enoi A/L Ekeng yang perlu diberi perhatian.

Pengalaman saya yang selalu membawa group pakai Airasia kemudian terpaksa membatalkan penerbangan cukup banyak. Tiket memang kira hangus. OK. Tapi cukai lapangan terbang macam mana sebab memang kita tak guna pun.

Bila tanya macammana nak claim, semua pegawai Airasia cakap tak tau.

Satu lagi pengalaman, bila penerbangan (Airasia) terlewat. Berjam-jam pula tu. Maka kita tidak dapat meneruskan penerbangan berikutnya (juga dengan Airasia). Bila diberitahu bahawa kelewatan berpunca dari Airasia sendiri tapi mereka tak terima kononnya mereka tak terikat apa-apa. Pun tiket hangus.

Bayangkan brother kalau satu tiket tak apa. Kalau berpuluh atau beratus tiket? Berapa yang Airasia kebas selama ni? Peliknya kenapa soal begini tak diambil perhatian atau tindakan pihak Kerajaan? Atau kerana pegawai Kerajaan dan Wakil-Wakil Rakyat yang selalu berkukuk kat Parlimen memang tak guna penerbangan tambang murah macam Airasia?

Saya pernah komplain kat surat khabar tapi memang betul - tak tersiar. Airasia boleh buat apa saja walaupun kadang-kadang memang terbukti penipuan. Kerja buat Airasia macam penyamun tarbus jugak!.
.........................................................................................................................................
Saya sungguh terkejut bila membaca di The Star Online semalam, bahawa Air Asia diberi diskaun sebanyak RM 25 juta hasil daripada cukai lapangan terbang yang dikutip olehnya. Rujuk di sini

Siapa sebenarnya di belakang Air Asia ini, sehingga mereka boleh mendapat keistimewaan sebegitu rupa. RM 25 juta bukan angka yang sedikit wahai kawan-kawan sekalian. Tetapi, begitulah baiknya 'budi' kerajaan kita, sanggup bagi RM 25 juta kepada sebuah syarikat yang telah membuat untung beratus-ratus juta.

RM 25 juta duit kerajaan dan duit rakyat terbang begitu sahaja. RM 25 juta ini jika kerajaan beli rumah kos rendah untuk dihadiahkan kepada rakyat , sebanyak 595 buah rumah boleh dibeli. (RM 42,000 sebiji rumah)

Air Asia kutip cukai lapangan terbang bagi pihak kerajaan yang dibayar secara tunai oleh pembeli tiket. Tetapi , Air Asia tidak amanah, mereka tidak beri wang itu kepada kerajaan, sebaliknya mungkin digunakan atau disimpan oleh mereka terlebih dahulu, hingga Air Asia terpaksa berhutang sebanyak RM 132.1 juta dengan kerajaan sehingga march 2009.

Tiba-tiba kerajaan baik hati pula, beri kepada mereka RM 25 juta hasil kutipan duit pengguna lapangan terbang, yang sepatutnya masuk ke dalam kantung kerajaan dan mengalir kepada rakyat bawahan. Jika kerajaan hendak beri insentif sekalipun kepada Air Asia ,jangan guna duit yang orang ramai bayar cukai lapangan terbang. Beri insentif lain kepada mereka. Contohnya, caj mendarat, sewa LCCT atau cukai perniagaan.

Saya tidak nafikan, Air Asia banyak menyumbang kerancakan kepada ekonomi negara. Itu bukan alasannnya. Wang itu yang pengguna sudah bayar untuk cukai lapangan terbang. Kita kena amanah,kena beri kepada kerajaan terlebih dahulu. Jangan main potong-potong atau diskaun begitu sahaja.

Sebagai contoh, seorang pengutip pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia atau Tekun, mereka telah dibayar gaji oleh kerajaan (sebagaimana penumpang bayar tambang Air Asia) untuk mengutip hutang daripada pemimjam-pemimjam yang terdiri dari peniaga kecil-kecil di kampung. Kemudian duit yang dikutip tidak diserah kepada kerajaan. Mereka pakai atau simpan untuk mereka terlebih dahulu. Bila diminta oleh kerajaan ,mereka minta bayar sikit-sikit dan kemudian bila dibayar , kerajaan pula beri diskaun kepada pengutip pinjaman tersebut , kerana dia rajin mengutip pinjaman.

Bolehkah begitu ? Sudah tentu pengutip pinjaman tersebut merengkok dalam penjara kerana pecah amanah. Tapi bagaimana pula dengan Air Asia ? Tidak kah mereka juga pecah amanah ? Tapi oleh kerana mereka 'orang besar' maka tiada tindakan kepada mereka. Bila kena masa 'orang kecil' dikejar hingga ke lubang kubur.

Kau kutip duit dengan aku untuk kerajaan. Kemudian kau tak bagi kerajaan. Bila kerajaan minta kau bayar sikit-sikit. Bila dah bagi,kau dapat komisyen pula. Sedangkan kau punya bahagian (tambang) aku dah bagi.

Tolonglah wahai Kementerian Pengangkutan, jangan buat kerja bodohlah. Itu duit orang ramai yang sudah dibayar kepada kerajaan. Mengapa senang-senang sahaja kamu beri kepada Air Asia.

Satu lagi yang menjadi persoalan kepada saya. Saya rasa anda semua juga ada pengalaman ini.

Bila kita membeli tiket Air Asia samada secara talian atau di kaunter,kita akan membayar terus cukai lapangan terbang sebanyak RM 6.00 di LCCT dan RM 9.00 di lain-lain lapangan terbang dalam negara atau mungkin ada harga yang berbeza di lapangan terbang tertentu.

Jika kita membatalkan perjalanan kita, maka tiket kita yang sudah dibeli akan dikira 'hangus.' Bagaimana pula dengan cukai lapangan terbang ? Yang 'hangus' adalah tambang, cukai lapangan terbang tidak 'hangus'. Ke mana pergi wang tersebut ? Adakah ke dalam kantung kerajaan atau ke dalam kantung Air Asia. Saya difahamkan kita berhak menuntut balik wang cukai yang telah dibayar tersebut . Tapi dimana kita hendak tuntut ? Adakah dengan Air Asia, Malaysia Airport atau dengan Kementerian Pengangkutan ?

RM 6.00 dan RM 9.00 setiap orang. Jika sehari 100 orang penumpang yang membatalkan perjalanan atau ketinggalan penerbangan, setahun sudah berapa duit rakyat yang didiamkan tidak tahu ke mana.

Bab-bab Air Asia, anda semua jangan 'komplen' lah dalam surat khabar atau media-media masa lain. Tak laku punya, walaupun anda tulis 44 muka surat pun, mereka tak akan siarkan. Ini kerana Air Asia dah ikat kaki, tangan dan mulut mereka semua melalui pembelian iklan.

Semua media sama sahaja. Baik media melayu, inggeris,cina atau tamil. Jika mereka 'menghentam' Air Asia dalam media mereka, alamak, mereka akan kehilangan ratusan ribulah bayaran iklan daripada Air Asia. Ini kerana Air Asia tidak akan membuat iklan lagi di media mereka. 'Smart' tak cara Air Asia berniaga ?

Kalau anda semua 'komplen' pasal MAS, tindakan mereka memang cepat dan mereka tidak akan ragu-ragu untuk siarkan. Ini kerana MAS punya iklan tidak sehebat Air Asia.

Walaupun saya 'usik' Air Asia sikit kat sini, tapi saya tetap 'respek' kepada Tony Fernendez. Dia pintar dan licik dalam dunia perniagaan. Dia tetap idola di hatiku dalam bab perniagaan. Aku berazam untuk berjaya seperti beliau satu hari nanti. Usik-mengusik bukan tanda benci, tapi tanda sayang.

Selepas ini ,akan ada lagi cerita pasal Air Asia. Sesiapa yang hendak kongsi pengalaman atau aduan sila hantar melalui komen kepada saya.

Ikuti juga tulisan dua rakan blogger dalam isu yang sama

Rujuk di sini

Rujuk di sini

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Sampai bila perkara sebegini harus berlaku? Apakah kerajaan masih belum serik dengan PERINGATAN DARI RAKYAT pada PRU12????? Di mana hak-hak pengguna 'kerdil' di Malaysia? Mereka yg 'di atas tampuk kuasa' tidur nyenyak beralaskan tulang-belulang rakyat...