20 Jun 2013
Setakat tengah hari Khamis, bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) bagi tempoh tiga jam berada pada 299, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).
Bacaan PSI antara kosong dan 50 dikategorikan sebagai baik; 51 hingga 100 sederhana; 101 hingga 200, tidak sihat; 201 hingga 300 sangat tidak sihat; dan lebih 301 berbahaya.
PSI berada pada paras 137 pada 6 pagi dan semakin mencatatkan peningkatan.
Semalam, bacaan PSI bagi tempoh tiga jam pada 11 pagi adalah 282, manakala bacaan PSI bagi tempoh 24 jam di waktu yang sama berada dalam lingkungan tidak sihat iaitu 130 hingga 150.
NEA berkata Pasukan Petugas Jerebu (HTF) terdiri daripada semua 23 agensi kerajaan telahpun digerakkan dan kini menyelaraskan pelan tindakan masing-masing untuk mengurangkan kesan jerebu terhadap orang ramai.
Garis panduan dan surat makluman yang dikeluarkan agensi terbabit kepada sektor yang berkenaan kekal relevan.
Kementerian Pendidikan pula mengedarkan garis panduan supaya mengehadkan aktiviti luar kelas di sekolah, dan Kementerian Pembangunan Keluarga dan Sosial (MSF) menghendaki pusat jagaan kanak-kanak serta tadika supaya membatalkan semua aktiviti luar bagi kanak-kanak manakala pengusahanya pula memantau rapi tahap kesihatan kanak-kanak berkenaan.
Kementerian Pertahanan menyediakan senarai garis panduan untuk mengehadkan aktiviti dan latihan luar berdasarkan bacaan PSI.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri turut mengambil langkah berjaga-jaga yang sesuai bagi kesejahteraan anggota keselamatan yang dipertanggungjawabkan dengan tugas aktif, sambil memastikan fungsi keselamatan yang menyeluruh tidak dikompromi.
HTF akan terus memantau rapi keadaan itu.
NEA berkata agensi HTF akan mengeluarkan surat makluman selanjutnya jika keadaan jerebu bertambah buruk.
Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Luar dan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura memaklumkan mengenai keadaan yang bertambah serius itu kepada rakan sejawatan mereka di Indonesia dan menggesa supaya tindakan segera diambil.
Ketua Pegawai Eksekutif NEA Andrew Tan akan mengetuai delegasi ke Jakarta hari ini untuk menghadiri mesyuarat tergempar mengenai jerebu yang dipanggil oleh Kementerian Luar Indonesia. - Bernama
No comments:
Post a Comment