2013/06/19 - 18:19:55 PM
KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan sehingga 17 Julai depan untuk mendengar keputusan laporan pemeriksaan mental seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa mendera bayi majikannya, Februari lalu.
Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam T. Vijayandran, yang mewakili Yuliana, 23, agar kes itu disebut semula pada tarikh lain bagi membolehkan beliau membincangkan laporan itu dengan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Vijayandran mempersoal kesahihan laporan itu yang disediakan Pegawai Perunding Forensik Psikiatrik Hospital Permai, Johor, Dr Badia'h Yahya, bukannya pengarahnya.
"Seksyen 343 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan bahawa apa-apa laporan itu mesti dibuat oleh Pengarah hospital. Saya menghubungi pihak hospital dan dimaklumkan pengarahnya adalah Dr Abdul Kadir Abu Bakar," katanya.
Terdahulu, Mariana membacakan laporan Dr Badia'h di mahkamah yang menyatakan ketika kejadian tertuduh tidak menunjukkan apa-apa tanda penyakit mental yang serius.
"Pada pendapat saya semasa kejadian itu, dia berfikiran waras dan mampu memahami bahawa tindakan beliau adalah menyalahi undang-undang.
"Dia patut dibicarakan dan layak membuat pembelaan di mahkamah bagi mempertahankan dirinya," katanya.
Yuliana dari Acheh, Indonesia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera bayi berusia empat bulan, 15 Feb lepas.
Pada 12 Mac lalu, Mariana memerintahkan wanita terbabit ditahan sementara di Hospital Permai selama tiga bulan bagi menentukan tahap kewarasan tertuduh setelah wanita terbabit memohon menggantung pelaksanaan hukuman yang dihadapinya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment