Thursday, 2 April 2009

SELAMAT BERSARA PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-5

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Perjalanan Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5 sudah sampai ke destinasinya. Alhamdulillah, saya sebagai rakyat Malaysia sentiasa berbangga kerana pernah mempunyai Perdana Menteri seperti beliau, begitu juga dengan semua mantan Perdana Menteri Malaysia yang lalu. Setiap dari mereka telah membawa banyak perubahan kepada rakyat dari pelbagai sudut perubahan yang berbeza.

Walaupun kepimpinan Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sering dikritik terutamanya dari Tun Dr Mahathir, saya tetap segar menyokong beliau sebagai rakyat yang menghormati pemimpin. Bukan mudah untuk melakukan perubahan yang memenuhi kehendak semua, kerana usaha mentadbir manusia bukanlah kerja senang waima dalam kelompok kecil sekalipun. Pelbagai ragam dan pola pemikiran yang bebeza dari pandangan masing-masing. Semua itu menuntut masa apatah lagi pemikiran rakyat sudah dibentuk dengan corak yang sama selama 21 tahun pemerintahan hebat Tun Dr Mahathir.

Saya amat mengormati dan menyayangi Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan tetap mengagumi Tun. Kedua-dua mereka mempunyai rekod kejayaan masing-masing. Kita salah jika membandingkan rekod tersebut kerana Tun memerintah selama 21 tahun manakala Pak Lah hanya memerintah hampir 6 tahun sahaja. Pembentukan sesebuah rekod kejayaan dalam pembinaan negara bangsa bukanlah sesingkat itu. Apatah lagi, tempoh Pak Lah penuh dengan perubahan arus global yang sedikit sebanyak mempengaruhi keperluan semasa kita semua. Keputusan tidak popular seperti menaikan harga minyak, penyusunan tadbir urus korporat bagi GLC, pembatalan projek-projek mega dan sebagainya, adalah bagi memenuhi tuntutan semasa dan atas dasar kepentingan semua generasi akan datang.

Tetapi malangnya, objektif baik dari keputusan Pak Lah tersebut tidak diselidiki dan diadili dengan jujur. Sebaliknya ianya telah dipergunakan oleh musuh-musuh dalam selimut untuk menjatuhkan beliau. Semua ini tidak lain hanya atas tujuan yang terang, iaitu ’MENDAPATKAN KUASA-KUASA POLITIK’.

Pada saya, kita kerugian kerana menolak pemimpin berjiwa besar dan luhur seperti Pak Lah. Beliau telah merubah kedudukan ekonomi rakyat di kawasan luar bandar, sama seperti apa yang telah dilakukan oleh Tun Abdul Razak. Impak kejayaan besar ini sudah kelihatan jelas. Sektor tani dan penternakan telah merubah corak ekonomi masyarakat luar bandar. Malahan, terdapat di antara masyarakat bandar serta korporat-korporat besar yang turut sama membuat pelaburan dalam sektor ini.

Pak Lah juga berjaya dalam misinya memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat walaupun tidak secara mutlak. Akhbar dan media telah mula memberikan berita yang nampak adil kepada rakyat terutamanya dari sudut politik. Ada sedikit keseimbangan dalam laporannya dan telah disenangi oleh banyak pihak. Walaupun kebebasan suara rakyat ini dikatakan di antara punca yang merosakkan populariti kerajaan, namun inilah caranya Pak Lah dan kerajaan dapat menilai pendapat rakyat secara terus, bukannya dari laporan-laporan agensi kerajaan sahaja.

Selain itu, era Pak Lah juga merupakan era permulaan bagi pemimpin-pemimpin muda kerana, iktibar Pilihanraya ke-12 lalu telah menyatakan bahawa rakyat secara total menolak pemimpin-pemimpin vateran yang retorik seperti Datuk Seri S Samy Vellu (Presiden MIC) dan ramai lagi tokoh-tokoh politik vateran yang terus ’menongkat langit’ ini. Isyarat perubahan tersebut juga telah diterjemahkan di dalam Pemilihan Agung UMNO yang baru berlangsung baru-baru ini. Pemimpin-pemimpin muda seperti Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin, Datuk Seri Shafie Afdal, Saudara Khairi Jamaludin dan Datuk Mukriz Tun Mahathir adalah suara baru dalam pola politik negara yang muda dan segar. Pengharapan Rakyat kepada pemimpin muda ini sudah jelas dan mereka haruslah menurut arus kehendak rakyat juga dengan membina peribadi luhur dan hapuskan politiking yang berlebihan. Akan tetapi, mereka ini haruslah juga sentiasa menunjukkan penghormatan kepada pemimpin-pemimpin vateran yang berjasa. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung juga tidak berterabur.

Saya mengucapkan SELAMAT BERSARA kepada Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pemimpin yang tenang dan luhur. Saya yakin Allah akan memberikan ketenangan jiwa yang mutlak kepada Datuk Seri dan isteri. Tiada lagi bebanan yang besar untuk Datuk Seri. Yang pasti, sebuah sejarah baru akan terpahat dalam pustaka negara dan Datuk Seri adalah pengarang barunya.

Pengharapan saya agar setiap dari kita dapat menilai sebuah kejayaan dari sudut yang kolektif, bukan hanya melalui persepsi, emosi dan cerita sensasi.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment