Tuesday 8 December 2009

Nasib Golongan OKU

** Ini adalah petikan dari email yang dihantar kepada Utusan Malaysia

Assalamualaikum.

Saudara Pengarang,

Saya terpanggil untuk memberikan respon terhadap surat dari Nadia, seorang OKU yang suratnya tersiar diruangan forum pada 9 Disember 2009.

Saya mempunyai seorang abang yang juga OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang turut menerima nasib yang sama seperti Nadia. Dalam soal mendapat peluang pekerjaan, permohonan beliau seringkali ditolak. Bukan sahaja dari sektor swasta, malahan dari sektor kerajaan 1Malaysia.

Sepanjang pengetahuan saya beliau sudah menerima sebanyak enam kali surat panggilan temuduga dari SPA dan telah menghadiri 5 dari 6 panggilan temuduga tersebut. Kesemua jawapan yang diterima selepas itu adalah mengecewakan iaitu 'Dukacita'. Cuma satu temuduga SPA sebagai calon bagi jawatan Pembantu Perpustakaan, di mana beliau telah diletakkan sebagai 'Calon Simpanan Selama 1 Tahun'. Sehingga kini, tiada informasi lanjut mengenai kebarangkalian 'calon simpanan' ini akan mendapat tempat ataupun tidak di jabatan-jabatan kerajaan.

Abang saya telah menghantar surat(email) rayuan kepada pihak SPA untuk pertimbangan semula, tetapi jawapan 'standard' yang diterima dari pegawai SPA yang bertanggungjawab juga sangat mengecewakan. Seolah-olah permohonan OKU ini tidak boleh lagi dirayu dan setiap keputusan temuduga adalah muktamad.

Apa yang ingin saya tegaskan di sini adalah golongan OKU memang sering 'didiskriminasikan' secara terang-terangan. Hanya golongan OKU dan keluarga mereka yang tahu bagaimana sukarnya mereka memperolehi pekerjaan yang adil serta sama taraf dari segi penggajian berbanding golongan yang sempurna.

Saya seringkali terbaca kenyataan didada-dada akhbar oleh samada dari Menteri, wakil-wakil Jabatan Kerajaan dan majikan-majikan tentang tidak wujud 'diskriminasi' terhadap golongan OKU dalam semua hal termasuk peluang pekerjaan untuk mereka. Pada saya semua itu hanyalah kenyataan 'Retorik' yang memualkan. Hakikatnya sangat 'terbalik'. Mereka yang mengeluarkan kenyataan penafian tersebut langsung tidak 'turun ke bawah' melihat penderitaan sebenar golongan OKU ini. Kenyataan penafiaan mereka itu sangat mengguris perasaan dan memberikan tekanan bukan sahaja kepada golongan OKU seperti abang saya, malahan semua anggota keluarga mereka terutamanya keluarga yang miskin atau berpendapatan rendah. Sudahlah kehidupan tidak sesenang mana, 'harapan' pula samar-samar.

Cuba mereka bayangkan, sudahlah mereka ini kurang upaya, didiskriminasikan pula. Umur semakin meningkat, jaminan hidup pula masih samar-samar. Sampai bila hanya mengharapkan ehsan keluarga, bantuan zakat atau bantuan JKM? Bagaimana mereka mahu membina keluarga? Apa yang boleh mereka nikmati dengan gaji RM700 disaat imflasi negara semakin meningkat? Mereka ini sedang mengalami dipresi atau tekanan yang sangat hebat.

Saya merayu kepada pihak-pihak yang memegang tampuk kuasa, wakil-wakil rakyat yang sibuk berdebat di Parlimen, pemilik-pemilik perniagaan yang berhati murni, jenguk-jenguklah golongan OKU ini sehingga di depan pintu rumah mereka. Lihatlah realiti golongan OKU yang tiada 'kaki atau orang dalam' dan tiada pengaruh di mana-mana. Jangan hanya mengeluarkan kenyataan yang diperolehi dari pegawai-pegawai bawahan anda sahaja tetapi anda sendiri tidak melihat realitinya secara adil dan terperinci. Usah anda mengajar golongan OKU bagaimana untuk menjalani kehidupan mereka sedangkan sesudah itu anda mendiskriminasikan mereka pula.

Saya ingin mencadangkan supaya Menteri yang terlibat menjaga perihal golongan OKU ini iaitu Datuk Seri Shahrizat Jalil, supaya menyediakan satu platform khas bagi golongan OKU yang memerlukan pekerjaan. Adakan satu acara khas yang boleh mempertemukan golongan-golongan pencari pekerjaan OKU dengan para majikan yang boleh memberikan harapan dan pekerjaan kepada mereka. Kalau kerajaan dan swasta seperti Job Streets boleh mengadakan hari khas yang mempertemukan pencari pekerjaan dengan majikan, sebelum ini (yang kebanyakannya untuk golongan sempurna), mengapa tidak boleh kerajaan 1Malaysia mengadakan hari khusus seperti ini untuk golongan OKU sahaja. Adakan secara 'road tour' ke seluruh Malaysia bagi memberikan peluang kepada semua OKU di Malaysia bertemu dengan bakal-bakal majikan yang berminat menggaji mereka.

Selain itu, kerajaan sepatutnya menwar-warkan secara terang tentang insentif-insentif khas yang disediakan oleh kerajaan kepada para majikan swasta yang menggaji pekerja OKU, seperti insentif cukai dan sebagainya. Ini bagi mencelikkan para majikan swasta bukan sahaja tentang peranan mereka terhadap masyarakat, malahan apa yang mereka bakal perolehi dari sikap murni mereka.

Seperti yang diminta oleh Nadia, saya juga menyeru kepada pihak kerajaan supaya mempermudahkan urusan OKU yang berkaitan dengan hak mereka. Fahamilah limitasi-limitasi keupayaan mereka yang tidak sama dengan orang yang sempurna. Bantulah mereka membina kehidupan dengan pekerjaan tetap dan gaji yang berpatutan kerana, kadangkala perbelanjaan hidup dan perubatan golongan OKU ini lebih tinggi berbanding golongan yang sempurna. Fahamilah realiti kesukaraan hidup mereka dan berhentilah mengeluarkan kenyataan-kenyataan penafiaan yang mengguris perasaan mereka dan keluarga mereka. Ambil tahu realiti tekanan dan apa yang mereka lalui dalam hampir seluruh hidup mereka.

Apabila golongan OKU membuat sesuatu rayuan, maka nilailah rayuan mereka dengan ikhlas dan penuh rasa belas. Mereka perlukan 'kelebihan' dalam beberapa hal yang wajar diberikan kepada mereka.

Pada yang memegang kuasa, jangan sombong dan takbur melayan golongan OKU kerana siapa tahu suatu hari nanti anda pula akan dikategorikan sebagai OKU dan akan menghadapi kesukaran yang sama sepertimana mereka sekarang. Kita manusia, dan mereka juga manusia. Kita menjalani hidup di atas bumi yang sama dan akan kembali menemui 'Pencipta' yang sama. Justeru, fikirkanlah apa tanggungjawab kita untuk membantu golongan OKU yang menderita atas 'kesempurnaan' kita ini.

3 comments:

  1. satu hari nanti bila saya suda ada kemampuan saya pasti mahu membantu glgan oku!mereka tidak layak utk dihina sebegitu.

    ReplyDelete
  2. thanz bro for artikel OKU yg bernas. ni la artikel yg sy ingin cari. minta izin bro utk letakkan artikel ini ke dalam notes facebook sy utk memastikan suara mudah disampai ...

    ReplyDelete
  3. Saya dah cuba membantu, namun seperti biasa, yg "Berkuasa" xpernah celik mata pun... Cakap saja..

    ReplyDelete