Thursday 13 June 2013

Telco sudah lama tidak adil kepada pelanggan! Apa Pengalaman Anda???

GUNALAH telefon pintar yang canggih tahap mana sekali pun, tetapi sekiranya perkhidmatan telco yang dilanggani tidak sebagus dan sepintar telefon anda, memang seperti tiada maknanya memiliki telefon yang mahal itu.

Apatah lagi syarikat telco ada yang dikesan mengenakan caj-caj tersembunyi yang ‘mencekik darah’ pengguna, tidak kira yang menggunakan perkhidmatan talian pasca bayar atau pra-bayar.
Kita sudah biasa mendengar banyak aduan mengenai caj-caj tersembunyi ini yang tidak dimasukkan dalam kontrak ketika mula-mula dilanggan.

Ada pengguna yang mengadu kredit bagi prabayar mereka tiba-tiba habis kerana mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak dilanggan. Dan macam-macam perkhidmatan yang tiba-tiba muncul, dan pengguna terpaksa membayarnya.

Bukan setakat itu, ada aduan caj turut dikenakan kerana perkhidmatan pesanan suara (voice mail) bagi panggilan yang tidak berjawab. Bayangkan 10 kali anda tidak mengangkat telefon, masuk voice mail dan anda pula dikehendaki membayarnya! Bukankah caj hanya dikenakan pada perkhidmatan yang digunakan sahaja?
Begitu juga dengan perkhidmatan yang telah ditamatkan oleh pengguna sendiri melalui panggilan ataupun SMS kepada syarikat telco terbabit, namun ada banyak aduan caj terus dikenakan walaupun tidak melanggannya lagi.

Kita juga selalu menghadapi dan mendengar rungutan liputan internet yang perlahan lebih mengalahkan kura-kura ataupun siput, baru dilanggan tidak sampai beberapa hari, liputan sudah menurun walaupun duduk di tengah-tengah bandar. Bila ditanya syarikat terbabit - ‘‘Kami sedang menaik taraf kawasan liputan." Walhal sudah makan bulan pun, liputan masih lembab tahap itu juga.

Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) memberitahu, pihak mereka menerima secara purata kira-kira 30 aduan bertulis berhubung masalah seperti itu bagi tempoh Februari lepas sehingga awal Jun ini, di samping aduan menerusi panggilan telefon. Itu aduan yang rajin dikemukakan pengguna kepada mereka, belum masuk aduan-aduan pada persatuan pengguna lain dan yang tidak dilaporkan.

Dan ini membuatkan kita selalu terfikir, syarikat-syarikat telco di negara ini tidak cukup untung lagikah?
Sedangkan di negara ini boleh dikatakan kebanyakan kita menggunakan telefon bimbit, tidak kira peringkat umur termasuk budak-budak sekolah. Telefon bimbit bukan milik golongan mewah saja. Ia satu keperluan. Semua orang menggunakannya. Begitu juga dengan perkhidmatan internet.

Sudah tentu, syarikat-syarikat telekomunikasi ini sudah mendapat berjuta-juta ringgit daripada pelanggan-pelanggannya yang bukan sahaja tinggal di kawasan bandar tetapi di luar bandar, di ceruk-ceruk kampung dan pedalaman.

Maka, sudah sepatutnya syarikat telekomunikasi ini sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka dari semasa ke semasa. Bukan membiarkan mutu perkhidmatan bertambah teruk dan ‘menaikkan darah’ orang ramai.

Aduan-aduan orang ramai sewajarnya diambil kira dalam meningkatkan mutu perkhidmatan mereka. Kajian seharusnya dilakukan sekiranya pelanggan-pelanggan mereka menutup akaun dan lari ke syarikat telekomunikasi lain.

Siapa pun berniaga mesti mahu untung, tetapi jangan mengaut untung dengan cara ‘putar alam' sebegini. Pengguna yang sudah melanggan perkhidmatan bukan mendapatkannya secara percuma.

Selain itu, perkhidmatan kaunter operator yang menjawab segala pertanyaan dan aduan mesti efisien. Operator bahagian pertanyaan ini juga jangan cari jalan selamat beri jawapan pelanggan kena pergi berurusan sendiri dengan ibu pejabat atau pusat operasi utama perkhidmatan itu untuk menyelesaikan masalah mereka.

Bukan semua pelanggan duduk berdekatan ibu pejabat dan pusat operasi utama syarikat berkenaan dan senang-senang boleh pergi ke sana pada bila-bila masa. Kebanyakan sibuk bekerja siang dan malam.

Saya turut mempunyai pengalaman apabila menukar pakej broadband kepada yang baharu. Saya diminta pergi ke pusat utama operasi mereka yang terletak di sebuah kompleks beli-belah. Itu tidak mengapa. Yang saya pelik, apabila pakej broadband lama tersebut sudah ditamatkan, dua bulan selepas itu pihak syarikat telekomunikasi tersebut menelefon mengingatkan saya membuat bayaran untuk pakej lama berkenaan. Tunggakan dua bulan.

Bila saya katakan saya telah pun menamatkan pakej lama itu sudah dua bulan, pekerja tersebut menjawab pakej lama itu masih aktif. Maka, saya diminta pergi semula ke pusat operasi itu. Penat menunggu giliran, tanpa rasa bersalah pekerja di situ memberitahu pekerja sebelum itu tidak membatalkan pakej lama saya walaupun modem broadband lama saya sudah diambil. Maknanya kalau didiamkan, tidak pasal-pasal saya menanggung hutang!

Melihat kepada aduan dan kelemahan-kelemahan ini, maka sudah sewajarnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak berkaitan memantau perkembangan ini. Jangan setakat pantau sahaja, ambil tindakan tegas kepada syarikat telekomunikasi tempatan yang terbukti mengenakan caj yang tersembunyi ini. Jika tidak macam-macam lagi caj tidak masuk akal yang akan timbul.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130612/re_03/Telco-sudah-lama-tidak-adil-kepada-pelanggan#ixzz2WA0UhJGl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment