Sunday 16 June 2013

Pulau Pinang Enggan Bayar Caj Air Kepada Kedah


    June 16, 2013
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membantah keputusan kerajaan Kedah untuk mengenakan caj bekalan air dari Sungai Muda ke atas kerajaan Pulau Pinang.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa caj itu tidak wajar dikenakan ke atas Pulau Pinang memandangkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd. (PBAPP) mengambil air mentah dari kawasan Sungai Mudah yang terletak dalam Pulau Pinang.
“Oleh itu cadangan kerajaan Kedah untuk mengenakan caj ke atas Pulau Pinang atas air mentah terbabit tidak munasabah dan seolah-olah meminta wang (daripada Pulau PInang) tanpa sebarang sebab,” dakwanya melalui satu kenyataan hari ini.
Justeru Guan Eng mendakwa Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid membuat kenyataan salah mengenai isu itu dalam sebuah akhbar baru-baru ini.
Ia kerana dakwa beliau, Kedah tidak membekalkan air mentah kepada Pulau Pinang sebaliknya air Sungai Muda itu mengalir ke Pulau Pinang secara semula jadi.
Dakwanya air mentah Sungai Muda adalah sumber semula jadi dan bukan air yang dihasilkan secara projek seperti Skim Pertukaran Air Johor-Melaka.
Justeru dakwanya kerajaan DAP Pulau Pinang tidak perlu membayar untuk air yang mengalir daripada sumber semula jadi yang mengalir sejak berabad-abah lamanya.
“Pulau Pinang mengambil air mentah daripada Sungai Muda yang terletak dalam sempadan Pulau Pinang,” tegasnya.
Beliau juga mendakwa Pulau Pinang tidak wajar membayar caj tersebut kerana negeri itu mengambil air mentah daripada sungai menggunakan kemudahan sendiri dan tidak melibatkan sebarang kos terhadap kerajaan Kedah.
Media pada 31 Mei lalu melaporkan kerajaan Kedah tetap akan meneruskan hasrat untuk mengenakan caj bekalan air dari Sungai Muda ke atas kerajaan Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah, Badrol Hisham Hashim dipetik berkata, pihaknya serius dalam hal itu kerana tiada sebab bagi Kedah menarik balik hasrat yang pernah dikemukakan oleh Pas Kedah sebelum ini.
“Kita akan halusi semula hal ini daripada pelbagai aspek termasuk perundangan dan sejarah,” kata Badrol Hisham.

No comments:

Post a Comment