Tuesday 9 July 2013

Ramadhan Kareem: Gastrik Bukan Alasan Tidak Berpuasa


Oleh Murshid Eunos
Walaupun golongan wanita lebih mudah untuk lari daripada berpuasa dengan memberi alasan ‘bendera merah’, kelakarnya, budak-budak lelaki pula lebih sibuk memikirkan alasan untuk berpuasa kononnya tak sihat badan, terlajak bangun sahur atau lebih klise, gastrik.
Selamba bagi penjelasan tanpa memikirkan umur sudah pun tua. Mana boleh bagi alasan sebegitu melainkan kalau ada surat pengesahan doktor. Setakat cakap gastrik, hari-hari pun boleh kena sakit pedih perut itu walaupun hakikatnya langsung tidak.
Terlajak bangun sahur lagilah dianggap melampau bagi dewasa lelaki tapi itulah realitinya yang kebiasaan kita dengar. Percaya atau tidak adalah soal kedua tapi lebih manis untuk disembangkan, kenapa boleh ponteng?

Berpuasa adalah tuntutan rukun Islam ketiga yang wajib dilaksanakan khususnya lelaki yang tiada alasan untuk bercuti. Kalau terpaksa atau darurat, perlu dibayar ganti cuti itu dengan berpuasa di bulan selepas Ramadan dan kemudiannya dikenakan denda berbentuk bantuan kepada fakir miskin.

Itu menunjukkan berpuasa adalah wajib dan asas kepada semua umat Islam.

Bagaimanapun isu tidak berpuasa atau ponteng daripada menjalankan tuntutan agama ini bukanlah asing. Cuba selak semula akhbar dan laporan berita setiap tahun di bulan Ramadan, ada saja kes orang tidak puasa ditangkap. 

Restoran makanan segera, kedai mamak dan kedai serbaneka 24 jam menjadi pilihan segelintir ‘kaki ponteng’ puasa mendapatkan juadah berbuka awal dan sarang ponteng puasa. 

Malah tahun lalu ketika rakan sepejabat melakukan tinjauan dengan menyamar sebagai pengunjung di sebuah pusat memancing di Kuala Lumpur, terkejut apabila mendapati majoriti kaki pancing selamba menghisap rokok dan minum tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

Menurut seorang kaki ponteng puasa ketika berbual dengan wartawan, dia mendapat tahu lokasi itu selamat untuk makan dan minum di bulan puasa daripada seorang rakan. Pada mula memang takut-takut, tetapi selepas beberapa tahun, kolam ini menjadi lokasi dia dan rakan-rakan menjamu selera di siang hari setiap kali bulan Ramadan.

“Abang jangan risau, tempat ini selamat. Abang hisap saja rokok, orang tak kisah kerana semua tak puasa,” katanya mengajuk pengusaha kolam memancing yang sememangnya mencari rezeki lebih dengan ‘cover line’ pelanggannya yang tidak berpuasa. 

Kalau di kawasan kampung pula, kaki ponteng puasa menjadikan ladang kelapa sawit sebagai ‘port’ untuk makan dan minum. Ladang kelapa sawit di beberapa lokasi terpencil ibarat pesta kepada ‘kaki ponteng’ yang kebanyakannya pekerja ladang, pemandu lori, pekerja kilang berhampiran dan tidak ketinggalan budak sekolah.

Ada yang pernah mengaku tidak berpuasa dengan alasan penat kerana terpaksa bekerja di tempat yang panas dan menggunakan tenaga yang banyak. Lebih menariknya ketika dihampiri wartawan, mereka selamba dan yakin mengaku tanpa rasa bersalah. 

“Dulu memang kita makan dalam ladang kelapa sawit kerana takut ditangkap, sekarang tak payah dah. Kita makan dan minum di kedai kopi saja. Penguat kuasa yang ada pada jabatan terbabit pun bukannya ramai sangat. Pemilik kedai akan memaklumkan kepada kami sekiranya mereka datang,” kata salah seorang mereka. 

Sekilas pengetahuan jika ada yang terlupa, puasa secara bahasanya boleh diertikan sebagai ‘menahan diri’. Dari segi istilah syarak puasa bermaksud ‘menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari’. 

Selain menjauhkan diri daripada makanan sepanjang tempoh berpuasa, kita juga sebenarnya dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. 

Ini kerana puasa adalah medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Sesiapa yang sudah pun melengkapi syarat wajib berpuasa iaitu berakal atau waras, baligh (cukup umur) dan berkemampuan dan tidak uzur adalah golongan wajib melaksanakan ibadat ini. 

Pahala puasa Ramadan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja bukan saja melakukan satu dosa malah dia mengalami satu kerugian yang amat besar. 

Bayangkan, satu hari puasa yang ditinggalkan tidak boleh ditebus dengan apa saja cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. 

Justeru kenapa perlu tinggal puasa jika mampu meneruskannya?

Gen.Y sempena menyambut kedatangan Ramadan ini ingin berkongsi kisah kelakar dan rasa menyesal teman kita yang pernah ponteng puasa. Tapi harap-harap semuanya hanya kenangan yang banyak memberi pengajaran, bukannya masih dipraktik hingga hari ini.


Sorok air dalam beg

“Seingat saya kali terakhir ponteng puasa adalah ketika tingkatan dua bersama kawan-kawan kelas. Memang sudah dewasa pun tapi kerana terpengaruh dengan pujukan, saya terjebak sekali. 

“Saya tidak ada masalah gastrik atau sakit perut cuma selalunya saya akan terlepas waktu sahur kerana lena tidur. Minggu pertama puasa, ayah akan paksa juga untuk bangun tidur tapi lama-lama dia pun malas.

“Lantas kegiatan ponteng puasa selalunya bermula pada minggu kedua dan seterusnya. Alasan saya memang kerana tidak bersahur dan perut memang lapar menjelang tengahari. 

“Mengikut pujukan kawan kelas, saya pun terpengaruh untuk membeli bekalan air tin dan roti pada sebelah malam ketika keluar selepas berbuka, dan kemudian semuanya disorokkan dalam beg sekolah.

“Kemudian waktu rehat di mana semua pelajar lain duduk di perpustakaan ataupun tidur dalam kelas, saya bersama beberapa kawan lain memulakan operasi dengan membawa bekalan tadi untuk duduk berkumpulan di belakang bengkel kelas Kemahiran Hidup.

“Lokasi itu memang terbaik dan tersembunyi daripada pengetahuan guru dan pekebun sekolah. Justeru ia dijadikan ‘port’ kami untuk menjamu selera dan bertukar juadah bekalan. 

“Lebih jahatnya saya ketika itu, bukan saja tidak berpuasa malah merokok juga. Selamba saja kami ketika itu sebab yakin yang tempat itu tidak diketahui sesiapa. Mujur kegiatan itu tidak pernah kantoi.

“Tapi sebenarnya apa yang membuatkan saya tidak tahan untuk menahan rasa lapar itu adalah kerana saya jenis kuat minum. Jadi saya hanya berdepan masalah kehausan saja bukannya lapar makanan. 

“Itulah kisahnya dan sudah tentu menyesal dengan perbuatan sendiri ketika itu. Alhamdulillah kesedaran itu ada dan saya sudah pun cuba membayar semula hutang puasa itu lengkap dengan menunaikan fidyah. 

“Malu kalau ingat semula kisah lama. Maklumlah ponteng puasa memang kelakar jika disembangkan dalam kalangan kawan tapi jika dikongsikan secara terbuka, ia adalah aib yang tidak harus dicontohi apatah lagi dijadikan bahan rujukan. 

“Tapi saya anggap semuanya pengalaman ketika muda yang kini dijadikan pengajaran. Jika ada adik-adik yang baca dan gelak, biarkan ia sampai situ saja bukannya untuk dijadikan taktik pula.

“Takut nanti saya berkongsi pula dosa,” katanya seloroh.

Nama: Adli Rizal Muhammad
Umur: 26 tahun
Lokasi: Kuala Lumpur
Emel: adli322@yahoo.com.my 


Akhirnya kantoi!

“Kalau sekolah rendah, rasanya memang curi minum air paip saja boleh saya lakukan. Maklumlah ketika itu masih kecil dan tidak ada keberanian untuk ponteng puasa dengan cara lain. Jadi masuk bilik air kononnya buang air tapi sebenarnya teguk air dalam gayung. 

“Tapi lebih ekstrim dan berani saya ponteng ketika mula masuk sekolah menengah. Kebetulan adik-beradik semua sudah besar dan mereka belajar di asrama. Hanya saya seorang tinggal di rumah dengan mak, dan ayah pula sudah lama meninggal dunia.

“Mak masih bekerja sebagai jururawat di hospital dan pulang petang. Jadi selepas pulang dari sekolah, memang saya seorang saja di rumah. Bukan lagi ‘line clear’ malah saya boleh anjurkan parti dengan meriahnya. 

“Kisah paling kelakar dan menakutkan berlaku pada saya adalah ketika di tingkatan satu yang mana saya mengajak beberapa kawan untuk datang ke rumah selepas habis sekolah. 

“Bukan lagi makan nasi bungkus tapi saya sendiri yang masak mi segera. Bancuh air milo lagi, duduk bersila makan di meja makan. Petang itu bukanlah pertama kali kami ponteng puasa dan makan beramai-ramai, tapi sudah beberapa hari juga.

“Mungkin Tuhan nak tunjukkan dosa saya dan kawan-kawan, petang itu tiba-tiba mak pulang lebih awal kerana kepalanya pening dan perlukan rehat. Bayangkan ketika itu saya tidak mampu ingatkan semula.

“Rasa takut, bersalah dan cuak teramat kerana sedang leka makan dan berbual, malah ada kawan yang bangga merokok tiba-tiba bunyi kereta mak masuk ke laman rumah. Memang tidak sempat untuk kami bersihkan dapur kerana mak sudah pun berdiri di pintu melihat kegiatan kami.

“Apa yang saya ingat, semua kawan-kawan kena halau pulang dan ada yang terkena mangkuk mi yang dibaling mak. Saya pula kena pukul dengan sekuat-kuatnya memandangkan mak terlalu marah.

“Memang patut dia marah kerana saya menipunya berminggu-minggu. Setiap kali dia pulang ke rumah petang, dia akan membelikan kuih-muih dan apa saja pesanan saya di pasar Ramadan kerana ingatkan saya berpuasa. 

“Lakonan saya kononnya penat dan letih juga menjadi kerana semua mangkuk, dapur dan sudu sudah diaturkan seperti keadaan asal. Jadi memang tidak pernah mak menghidu kegiatan saya hinggalah petang itu.

“Tapi apa yang membuatkan saya terus insaf dan fobia untuk ponteng puasa kerana malam kejadian, mak datang memberi nasihat dan dia ingatkan yang arwah ayah boleh nampak apa yang saya lakukan. 

“Saya jadi takut dengan pesanan mak dan terus hingga ke hari ini tidak pernah saya ponteng lagi,” katanya. 

Nama: Firdaus Mawardi Husin
Umur: 27 tahun 
Lokasi: Johor Bahru
Emel: mamat_jiwang23@gmail.com

No comments:

Post a Comment