Sunday, 16 June 2013

Chong Wei Raih Kejuaraan Kali Kelima Di Indonesia


    June 16, 2013
KUALA LUMPUR – Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila berjaya meraih gelaran kelima badminton Terbuka Indonesia di Stadium Istora Gelora Bung Karno di Jakarta, hari ini.
Chong Wei, 30, selaku pilihan utama, mengambil masa 40 minit untuk mengatasi pemain nombor 22 dunia, Marc Zwiebler dari Jerman dengan keputusan 21-15 dan 21-14 pada perlawanan akhir.
Chong Wei mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh pertemuan dengan Zwiebler yang berusia 29 tahun itu.
Ini merupakan kejuaraan kelima Siri Super Premier berkenaan bagi Chong Wei  selepas edisi 2007, 2009, 2010 dan 2011.
Bagi final acara perseorangan wanita, pemain utama China, Li Xuerui terpaksa berkerja keras selama satu jam untuk menewaskan Juliane Schenk dari Jerman dengan keputusan 21-16, 18-21, 21-17.
Wakil tunggal pasukan tuan rumah ke final iaitu Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan menjuarai kategori beregu lelaki setelah mengecewakan beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Lee Yong Dae dengan keputusan 21-14 dan 21-18.
Beregu wanita bukan pilihan dari China Bao Yixin/Cheng Shu membuat kejutan apabila mengalahkan rakan senegara, Wang Xiaoli/Yu Yang yang merupakan pilihan utama dengan keputusan 15-21, 21-18 dan 21-18 dalam pertarungan selama satu jam.
Dalam acara beregu campuran, gandingan pilihan ketiga Zhang Nan/Zhao Yunlei dari China muncul juara setelah mengalahkan beregu pilihan keempat dari Denmark, Joachim Fischer Nielsen/Christinna Pedersen dengan keputusan 24-22, 20-22 dan 21-12 dalam persaingan sengit selama satu jam 21 minit. – BERNAMA

Ratan Tata Dilantik Ketua Penasihat AirAsia India


    June 16, 2013
NEW DELHI – Pengerusi Emeritus Tata Group, Ratan Tata akan menjadi ketua penasihat kepada lembaga AirAsia India, kata ketua kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
“Beliau adalah seorang legenda. (Kami) membina pasukan yang kukuh,” katanya menerusi sosial media hari ini.
Adalah amat kritikal untuk mempunyai seseorang yang berpengalaman luas untuk membantu membentuk AsiaAsia India, katanya.
Beliau juga berkata nama pengerusi lembaga itu akan diumumkan sama ada hari ini atau Isnin.
“Pengerusi kami adalah seorang yang telah membawa banyak perubahan kepada pelbagai tempat di India. Seorang tokoh yang akan membawa pengalaman luas kepada lembaga AirAsia India,” kata Tony.
AirAsia India sedang terbentuk dengan cemerlang, katanya.
“Seorang ketua pegawai eksekutif yang hebat. Pekerja yang cemerlang. Lembaga yang bagus dan kini penasihat yang hebat.”
Bulan lepas, AirAsia India mengumumkan pelantikan Mittu Chandilya sebagai ketua pegawai eksekutif untuk mengepalai pengembangan syarikat itu dalam salah satu pasaran penerbangan paling besar dunia.
Chandilya, berusia 33 tahun, mula berkhidmat pada 1 Jun.
Tata Group India mempunyai pegangan 30 peratus dalam AirAsia India (Pvt) Ltd. – BERNAMA

Cina Pulaukan Pimpinan Melayu, Melayu Pulaukan Barangan Cina. Salahkah?



    June 16, 2013
Petikan Zam Kata
Apabila orang Melayu berpakat untuk memulaukan kedai Cina, barangan Cina dan semua produk syarikat  Cina, maka akhbar The Star menjalankan kempen menentangnya kerana dakwanya membahayakan keharmonian sosial negara.
Tetapi apabila orang Cina menjalankan kempen untuk meruntuhkan dominan Melayu dalam sebuah kerajaan majmuk yang terbina sejak merdeka, The Star tidak pula nampak bahayanya.
Saya telah nampak bahayanya apabila ribuan orang Cina di kampong dan di bandar beratur panjang berbatu-batu, termasuk yang pulang dari luar negara untuk menenggelamkan kerajaan Melayu pada 5 Mei lalu.
Tindakan Buy Chinese Last oleh beberapa NGO Melayu adalah sebagai membalas tindakan orang Cina khususnya DAP yang mahu menghancurkan sebuah kerajaan yang bersifat multiracial tetapi telah tersasar  membina  sebuah kerajaan Bumiputra.
Jika orang Cina mahu melindungi perbuatan jahat menentang kepimpinan Melayu dengan kempen “Kami Suka Najib, Tetapi Tidak Suka BN,” maka apa salahnya jika orang Melayu berkempen “Kami Suka Cina, Tetapi Tak Suka Barangan Cina.”
Saya sendiri tidak percaya bahawa tindakan ini akan berkesan serta merta kerana kuasa ekonomi tidak sepenuhnya berada di tangan orang Melayu atau Bumiputra tetapi kempen Buy Chinese Last boleh berkesan jika dijalankan terus menerus  dalam masa empat lima tahun akan datang secara profesional dengan strategi yang inovatif dan kreatif, halus dan bijak secara kecil-kecilan dan besar-besaran.
Kerajaan mesti banyakan lagi Kedai1Malaysia di seluruh negara.
Ini bukan tindakan rasis kerana kempen jatuhkan kerajaan Melayu juga bukan rasis. Hanya Ketua Pengarang Akhbar The Star, Datuk Wong Chun Wai sahaja nampak rasis seperti dia nampak Utusan Malaysia rasis, tetapi tidak nampak akhbar Cina rasis.
Mulakan dengan pemulauan akhbar The Star.
KENAPA THE STAR BERSIKAP BEGINI?
Akhbar The Star yang menonjolkan diri sebagai juara untuk mengharmonikan semula hubungan antara kaum selepas Pilihan Raya Umum Ke13, tetapi tidak langsung menyiarkan  berita mengenai Pas tidak bersetuju dengan perhimpunan haram untuk menjatuhkan kerajaan yang dijuarai oleh Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim.
Jika The Star ikhlas untuk mendamaikan negara, maka berita ini akan memberikan sumbangan yang besar ke arah melemahkan masyarkat Cina yang sedang berada dalam uphoria gerakan untuk menjatuhkan kerajaan dengan keganasan dan kekerasan yang diwarisi dari  PKM.
Mereka ini sebenarnya adalah communist surrogate. Nasib baik The Star gagal dalam usaha untuk membawa balik Chin Peng ke Malaysia. Jika tidak, dia tentunya memberikan inspirasi dan semangat besar kepada orang Cina Malaysia dari dekat.
The Star juga tidak menyiarkan berita orang Cina Malaysia di London mengadakan tunjuk perasaan untuk mencemarkan Pilihan Raya Ke 13 di Malaysia dan demikian juga pelajar-pelajar Malaysia menterbalikkan bendera Malaysia di Taiwan.
Apa yang disiarkan hanya bila pelajar-pelajar yang kurang ajar ini mempertahankan diri mereka.
Zamkata akan menyiarkan dari semasa ke semasa betapa kelicinan The Star menjadi duri dalam daging untuk membuka mata seluruh rakyat yang prihatin terhadap keselamatan negara ini.
Saya kira masa telah berakhir untuk The Star bermuka-muka dan bermain silap mata, pepat di luar rencong di dalam.
KERA SUMBANG PAS DALAM HIMPUNAN HARAM DI KEDAH.
Sekalipun sebahagian besar pemimpin pemimpin Pas tidak bersetuju dengan perhimpunan haram yang dijuarai oleh Anwar  dan Lim Kit Siang tetapi Naib Presiden  Pas Sallehuddin Ayob dan Pesuruhjaya Pas Kedah Mahfuz Omar telah bersama dengan Anwar Ibrahim dalam tunjuk perasaan haram di Ibu Pejabat Pas di Kota Sarang Semut Kedah malam kelmarin.
Sejumlah besar yang hadhir adalah dari kaum Cina.
Kepada Mahfuz dan Sallehuddin tidak ada jalan lain lagi kecuali terus  bersama dengan Anwar Ibrahim sehingga kesaat terakhir kerana kedudukan masa depan mereka dalam kepimpinan Pas juga hanya menghetong hari. Seperti Hadi mereka jug adalah kera sumbang dalam Pas sekarang ini.

    June 16, 2013
GEORGETOWN – Pasukan mencari dan menyelamat menemui tiga tayar, termasuk tayar simpanan, semasa operasi menggali bagi mencari mangsa yang dipercayai tertimbus di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan  Macalister di sini petang ini.
Jurucakap bomba berkata pasukannya berjaya mengeluarkan tiga tayar manakala satu lagi belum ditemui dan dipercayai masih berada dalam lumpur.
“Pasukan keselamatan telah mengambil alih kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai tertimbus selepas kerja-kerja pemasangan kepingan logam untuk menghalang air masuk ke dalam kawasan lubang telah selesai petang ini.
“Usaha mencari kereta dan mangsa yang masih tertimbus dalam kejadian itu masih dijalankan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sehingga tengah hari, pasukan keselamatan menjumpai serpihan kereta seperti tayar, enjin dan bahagian depan Honda City milik mangsa.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini sepadan dengan kereta milik penjual nasi Lim Chin Aik.
Beliau berkata penemuan itu sekali gus merungkai laporan kehilangan seorang lelaki berusia 44 tahun sejak hari kejadian Khamis lepas.
Semasa kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Honda City berwarna kelabu keluar mengambil anak perempuan bongsunya dari Penang Chinese Girl’s High School di Jalan Gottlieb kira-kira pukul 6.30 petang, Khamis lepas. – BERNAMA

Wanita Nafi Perangkap Pelakon Popular Sehingga Ditangkap Khalwat


    June 16, 2013
RASANYA ramai yang tahu akan kes seorang pelakon lelaki yang telah ditangkap khalwat baru-baru ini. Pelakon itu yang sudah bertunang akhir tahun lepas bagaimanapun mendakwa yang dirinya diperangkap.
Menerusi Melodi yang disiarkan di TV3 tengahari tadi, wanita yang ditangkap khalwat dengan pelakon lelaki tersebut telah tampil dengan beberapa pengakuan kepada wartawan Melodi, Zuan Azmi bagi menyangkal dakwaan pelakon tersebut yang dirinya diperangkap:-
“Semua orang dah tahu pasal kes seorang pelakon lelaki yang ditangkap khalwat. Dan wanita yang ditangkap khalwat dengan dia ialah saya.”
Wanita itu memberitahu yang perbuatan mereka sudah diintip selama dua minggu:-
“Ini bukanlah satu perangkap. Tak ada siapa pun yang nak perangkap dia. JAIS tidak akan tangkap (khalwat) satu jam selepas dapat maklumat. Mereka mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk melakukan intipan, baru buat serbuan.”
“Kami telah diintip. Dia cakap jangan beritahu apa-apa tentang kami, hanya cerita yang ada lima orang di rumah dan saya sedang bersihkan baju konti manakala dia tertidur dalam bilik. Kalau tidur takkan dalam keadaan macam itu? Takkan JAIS akan umumkan ia sebagai kes khalwat?”
Tambah wanita itu lagi mereka tinggal bersama selama beberapa minggu dan pelakon itu bersamanya hampir setiap waktu untuk tempoh hampir sebulan, dan hubungannya dengan si pelakon ialah sebagai pasangan kekasih. Wanita itu sering menemani pelakon tersebut di set penggambaran dari malam sehingga ke pagi dan si pelakon hanya akan pulang ke rumah sekali atau dua kali dalam seminggu.
Ditanya sama ada dia dijanjikan sesuatu oleh pelakon itu supaya menjalinkan hubungan dengannya walaupun wanita itu tahu dia sudah bertunang, wanita itu memberitahu:-
“Ayat manis tu sudah tentu, tapi hanya satu saja yang saya pegang sampai sekarang. Sama ada dia sudah bertunang atau tidak bukan alasan untuk kami tidak menjalinkan hubungan. Dia rasa sangat terpaksa bertunang di atas kehendak keluarga.”
Ujar wanita itu lagi, sudah banyak perkara yang mereka lakukan bersama, namun kini pelakon lelaki itu menafikan hubungan mereka.
“Dia cuba lepas tangan, menafikan semua yang terjadi. Tak apalah, saya ada bukti semua. Saya datang untuk menceritakan hal sebenar kepada masyarakat dan mempertahankan maruah saya. Saya tiada niat langsung untuk menjatuhkan karier dia, tetapi dengan cara dia yang begitu, saya terpaksa.  Dia langsung tidak ada rasa tanggungjawab, dan hanya mahu melepaskan diri saja.”
Dia turut memberitahu yang dia dipinggirkan selepas mereka ditangkap khalwat:-
“Selepas kes ini terjadi dia pernah kata tidak akan tinggalkan saya dan akan cuba membersihkan semua ini untuk kami. Tapi dia diam saja dan saya tidak berjumpa dia sehingga sekarang.”
Wanita itu mengakhiri perbualan dengan mengingatkan wanita lain agar tidak tertipu dengan ayat manis pelakon lelaki tersebut.
Sumber : BEAUTIFULNARA

Enam Kawasan Catat Bacaan IPU Tidak Sihat


    June 16, 2013
KUALA LUMPUR – Enam kawasan, termasuk dua di Melaka,  mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini.
Sehingga pukul 11 pagi, bacaan IPU paling tinggi dicatat di Melaka iaitu Bandaraya Melaka (129) dan Bukit Rambai (120) diikuti Port Dickson (117), Muar (110), Pelabuhan Klang (104) dan Kemaman (101).
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya menyebut negara kini mengalami musim Monsun Barat Daya bermula Jun ini, yang dijangka berterusan hingga September.
“Angin monsun yang bertiup dari kawasan titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia telah membawa asap jerebu ke kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung,” kata kenyataan itu.
IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).
Kenyataan itu juga menyebut kebakaran di beberapa kawasan tanah gambut di Selangor adalah terkawal dan tidak menyumbang kepada peningkatan IPU di sekitar Lembah Klang.
Ia merujuk kepada kebakaran di Kampung Busut Baru, Pulau Kempas; Hutan Simpan Kuala Langat Selatan; Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan kawasan seluas enam ekar dalam kawasan Bandar Nusaputra, Sepang.
Kenyataan itu juga menyebut status kebakaran sebagai ‘masih terdapat beberapa tompok asap dalam kawasan seluas 30 ekar dan kerja memadamkan api giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dibantu JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Mineral dan Geosains.
JAS menasihatkan orang ramai tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka dan bekerjasama memadamkan kebakaran kecil atau melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727.- BERNAMA

Thursday, 13 June 2013

Telco sudah lama tidak adil kepada pelanggan! Apa Pengalaman Anda???

GUNALAH telefon pintar yang canggih tahap mana sekali pun, tetapi sekiranya perkhidmatan telco yang dilanggani tidak sebagus dan sepintar telefon anda, memang seperti tiada maknanya memiliki telefon yang mahal itu.

Apatah lagi syarikat telco ada yang dikesan mengenakan caj-caj tersembunyi yang ‘mencekik darah’ pengguna, tidak kira yang menggunakan perkhidmatan talian pasca bayar atau pra-bayar.
Kita sudah biasa mendengar banyak aduan mengenai caj-caj tersembunyi ini yang tidak dimasukkan dalam kontrak ketika mula-mula dilanggan.

Ada pengguna yang mengadu kredit bagi prabayar mereka tiba-tiba habis kerana mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak dilanggan. Dan macam-macam perkhidmatan yang tiba-tiba muncul, dan pengguna terpaksa membayarnya.

Bukan setakat itu, ada aduan caj turut dikenakan kerana perkhidmatan pesanan suara (voice mail) bagi panggilan yang tidak berjawab. Bayangkan 10 kali anda tidak mengangkat telefon, masuk voice mail dan anda pula dikehendaki membayarnya! Bukankah caj hanya dikenakan pada perkhidmatan yang digunakan sahaja?
Begitu juga dengan perkhidmatan yang telah ditamatkan oleh pengguna sendiri melalui panggilan ataupun SMS kepada syarikat telco terbabit, namun ada banyak aduan caj terus dikenakan walaupun tidak melanggannya lagi.

Kita juga selalu menghadapi dan mendengar rungutan liputan internet yang perlahan lebih mengalahkan kura-kura ataupun siput, baru dilanggan tidak sampai beberapa hari, liputan sudah menurun walaupun duduk di tengah-tengah bandar. Bila ditanya syarikat terbabit - ‘‘Kami sedang menaik taraf kawasan liputan." Walhal sudah makan bulan pun, liputan masih lembab tahap itu juga.

Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) memberitahu, pihak mereka menerima secara purata kira-kira 30 aduan bertulis berhubung masalah seperti itu bagi tempoh Februari lepas sehingga awal Jun ini, di samping aduan menerusi panggilan telefon. Itu aduan yang rajin dikemukakan pengguna kepada mereka, belum masuk aduan-aduan pada persatuan pengguna lain dan yang tidak dilaporkan.

Dan ini membuatkan kita selalu terfikir, syarikat-syarikat telco di negara ini tidak cukup untung lagikah?
Sedangkan di negara ini boleh dikatakan kebanyakan kita menggunakan telefon bimbit, tidak kira peringkat umur termasuk budak-budak sekolah. Telefon bimbit bukan milik golongan mewah saja. Ia satu keperluan. Semua orang menggunakannya. Begitu juga dengan perkhidmatan internet.

Sudah tentu, syarikat-syarikat telekomunikasi ini sudah mendapat berjuta-juta ringgit daripada pelanggan-pelanggannya yang bukan sahaja tinggal di kawasan bandar tetapi di luar bandar, di ceruk-ceruk kampung dan pedalaman.

Maka, sudah sepatutnya syarikat telekomunikasi ini sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka dari semasa ke semasa. Bukan membiarkan mutu perkhidmatan bertambah teruk dan ‘menaikkan darah’ orang ramai.

Aduan-aduan orang ramai sewajarnya diambil kira dalam meningkatkan mutu perkhidmatan mereka. Kajian seharusnya dilakukan sekiranya pelanggan-pelanggan mereka menutup akaun dan lari ke syarikat telekomunikasi lain.

Siapa pun berniaga mesti mahu untung, tetapi jangan mengaut untung dengan cara ‘putar alam' sebegini. Pengguna yang sudah melanggan perkhidmatan bukan mendapatkannya secara percuma.

Selain itu, perkhidmatan kaunter operator yang menjawab segala pertanyaan dan aduan mesti efisien. Operator bahagian pertanyaan ini juga jangan cari jalan selamat beri jawapan pelanggan kena pergi berurusan sendiri dengan ibu pejabat atau pusat operasi utama perkhidmatan itu untuk menyelesaikan masalah mereka.

Bukan semua pelanggan duduk berdekatan ibu pejabat dan pusat operasi utama syarikat berkenaan dan senang-senang boleh pergi ke sana pada bila-bila masa. Kebanyakan sibuk bekerja siang dan malam.

Saya turut mempunyai pengalaman apabila menukar pakej broadband kepada yang baharu. Saya diminta pergi ke pusat utama operasi mereka yang terletak di sebuah kompleks beli-belah. Itu tidak mengapa. Yang saya pelik, apabila pakej broadband lama tersebut sudah ditamatkan, dua bulan selepas itu pihak syarikat telekomunikasi tersebut menelefon mengingatkan saya membuat bayaran untuk pakej lama berkenaan. Tunggakan dua bulan.

Bila saya katakan saya telah pun menamatkan pakej lama itu sudah dua bulan, pekerja tersebut menjawab pakej lama itu masih aktif. Maka, saya diminta pergi semula ke pusat operasi itu. Penat menunggu giliran, tanpa rasa bersalah pekerja di situ memberitahu pekerja sebelum itu tidak membatalkan pakej lama saya walaupun modem broadband lama saya sudah diambil. Maknanya kalau didiamkan, tidak pasal-pasal saya menanggung hutang!

Melihat kepada aduan dan kelemahan-kelemahan ini, maka sudah sewajarnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak berkaitan memantau perkembangan ini. Jangan setakat pantau sahaja, ambil tindakan tegas kepada syarikat telekomunikasi tempatan yang terbukti mengenakan caj yang tersembunyi ini. Jika tidak macam-macam lagi caj tidak masuk akal yang akan timbul.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130612/re_03/Telco-sudah-lama-tidak-adil-kepada-pelanggan#ixzz2WA0UhJGl
© Utusan Melayu (M) Bhd