Monday 16 February 2009

SEBUAH PERJALANAN KE KUALA LIPIS

Assalamualaikum...
Kira-kira jam 3.45ptg, 16 Feb 2009 (Isnin), aku bertolak ke Kuala Lipis bersama En.Salihin (Boss), dengan tujuan, menziarahi serta menyampaikan ucapan Takziah warga kerja Salihin Consulting Group, di atas kembalinya En. Tarudin Ismail ke Rahmatullah pada 15 Feb 2009 (Ahad) yang lalu.

Setelah mengharungi perjalanan hampir 2jam 45 minit, dari Sri Gombak ke Kampung Sg Kerpan, kami tiba di destinasi sekitar jam 6.30ptg. Ketibaan kami di kediaman Allahyarham En. Tarudin dan Puan Siti Salmah, disambut oleh anakanda mereka En. Saiful Bahri Tarudin dan beberapa ahli keluarga terdekat mereka. Kami berbual seketika di luar kediaman bersama dengan En. Saiful Bahri dan disusuli oleh Pn. Rozi, yang menjemput kami masuk ke kediaman untuk bertemu dengan keluarga Allahyarham.

Dari luar pintu kelihatan beberapa orang tetamu wanita sedang berbual dengan Pn. Siti Salmah dan Dato' Siti Nurhaliza di ruang tamu. Seketika kemudian, tetamu wanita tersebut beredar dan Pn Siti Salmah menghulurkan tangan bersalaman dengan kami. Kedengaran jelas riak suara sebak di sebalik pertuturan ringkas Pn. Siti Salmah dan Dato' Siti Nurhaliza, yang mempersilakan kami duduk di sofa mereka. Kelihatan jelas juga wajah-wajah kesedihan anak-anak Allahyarham yang lain.

Kami menyambung perbualan bersama En. Saiful Bahri, yang menceritakan detik-detik perjalanan terakhir Allahyarham sebelum menghembuskan nafas terakhir. Dari perbualan tersebut, saya meringkaskan bahawa Allahyarham adalah seorang bapa yang sangat penyayang dan sangat akrab dengan semua anak-anaknya. Allahyarham sangat gemarkan aktiviti memancing dan baru sahaja menghadiahkan peralatan memancing kepada anaknya, En. Saiful Bahri. Selain itu, di minggu-minggu terakhir ini, Allahyarham juga sempat bertemu rakan-rakan lamanya, samada rakan-rakan kerja mahupun rakan-rakan memancing. Dari cerita anak-anak Allahyarham, saya dapat merasakan betapa Allah memudahkan perjalanan akhir Ayahanda mereka. Tiada sakit yang panjang dan permergian Allahyarham diiringi oleh kasih sayang.

Perbualan kami dengan En. Saiful Bahri, disertai oleh Pn. Siti Norsaida dan suami yang baru pulang dari pekan berhampiran. Pn. Rozi pula menghidangkan minuman dan roti untuk kami. Kelihatan juga sepupu mereka, Cik Juliana Zainal yang datang menghulurkan Salam kepada kami. Semua anakanda Allahyarham meminta kami menunggu sehingga selesai majlis Tahlil yang bakal diadakan selepas solat Isyak pada malam tersebut di kediaman mereka. Tetapi kami berdua memohon maaf kerana terpaksa jua meminta diri lantaran terdapat urusan-urusan lain yang masih belum terlangsai di Kuala Lumpur. Hasrat hati saya memang ingin menyertai majlis Tahlil tersebut, tetapi masa kurang mengizinkan kami pada ketika itu.

Sebelum pulang, kami meminta izin untuk bertemu dengan Pn Siti Salmah sekali lagi. Beliau muncul dari muka pintu dapur rumah mereka dan menyambut Salam kami. Sekali lagi jelas terdengar suara sebaknya ketika meminta kami menunggu sehingga selesai majlis Tahlil. Saya sedikit sebak juga kerana saya tidak dapat memenuhi jemputan beliau. Setelah bersalaman dengan hampir semua anak-anak Allahyarham, Kami diiringi keluar dari kediaman mereka oleh Pn Siti Norsaida dan En. Saiful Bahri. Kami bertolak pulang ke Sri Gombak pada jam 7.15 mlm.

Kunjungan kami ke kediaman keluarga Allahyarham En Tarudin adalah untuk menyampaikan Salam Takziah dan juga sebagai tanda perihatin kami terhadap situasi kesedihan yang sedang mereka sekeluarga tempuhi. Saya dan En Salihin sendiri pernah melalui suasana kesedihan dan kehilangan sebegini sewaktu permergian Ayahanda tercinta kami masing-masing. Justeru, kami dapat memahami serta rasainya sebagaimana mereka. Semoga mereka tabah dan terus berdoa untuk kesejahteraan Allahyarham.

Sepanjang hampir 7 tahun berurusan secara professional dengan syarikat keluarga mereka iaitu Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd, saya banyak memahami suatu nilai kekeluargaan yang erat antara mereka. Walaupun kurang mengenali En Tarudin secara peribadi, saya tahu bahawa Allahyarham dan Pn Siti Salmah adalah tunjang utama kepada kejayaan anak-anak mereka. Nasihat dan kata putus dalam sesuatu isu utama syarikat pastinya hadir dari pandangan Allahyarham dan Pn Siti Salmah.

Akhir kata dari saya, perjalanan penuh makna ini kami lakukan dengan Ikhlas demi sebuah ikatan silaturrahim sesama saudara Islam. Kami doakan semoga roh Allahyarham En. Tarudin Ismail dicucuri Rahmat dan mendapat Keredhaan Allah S.W.T. Semoga Pn Siti Salmah sekeluarga akan tabah dan terus mendapat limpah Rahmat dari-Nya. Al-Fatihah..

No comments:

Post a Comment